Tuesday, April 5, 2011

Adab bersahabat.....



Sahabat diumpamakan seperti sebahagian daripada hidup kita. Sehingga ke hari ini tidak ada seorang manusia pun yang hidup tanpa seorang sahabat. Junjungan besar nabi kita Muhammad SAW juga mempunyai ramai sahabat sehingga ke pelosok benua. Seorang sahabat juga mampu menjadi pemimpin dan mampu menjadi seorang pemusnah. Namun, berapa ramai yang boleh menjadi seorang sahabat sejati buat teman-temannya. Mungkin ramai yang hanya mampu bergelar seorang kawan, teman atau rakan.

Difinisi sahabat terlalu mendalam. Sahabat yang baik mampu membimbing sahabatnya ke arah yang diredhoi oleh Allah. Hari ini ustazah akan berkongsi bersama mengenai adab-adab dalam bersahabat.

Firman Allah di dalam surah al-Kahfi :28, bermaksud :

" Dan janganlah engkau menurut orang yang telah kami lalaikan hatinya daripada mengingati kami, lalu ia mengikutkan hawa nafsunya. "

Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Rasullullah SAW yang bermaksud :

" Seseorang itu atas agama ( perjalanan ) rakannya, maka hendaklah diperhatikan siapa yang harus dipilih sebagai teman/ rakan. "

Ayat-ayat ini menegah kita bersahabat dengan orang yang fasiq yang sentiasa melanggar perintah Allah walaupun adakalanya dia melakukan amal ibadat.

Al-Qamah seorang ulama masyhur dahulu kala memberikan beberapa panduan kepada anaknya dalam memilih sahabat, antaranya :

1) Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan membantu mengusahakan pertolongan itu sedaya upaya.

2) Jika dia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, dia akan menghargainya.

3) Jika engkau membuat bakti kepadanya pasti dia akan melindungimu.

4) Jika engkau berdua berselisih faham, dia akan mengalah untuk menjaga ikatan persahabatan itu. Dan yang paling penting sahabat yang baik adalah sahabat yang mampu menutup keaiban sahabatnya sendiri.

Justeru itu, ustazah ingin mengajak anak2 didik yang dikasihi, agar bijak memilih sahabat yang terbaik buat kita, kerana impak sahabat ini terlalu kuat dan mampu memberi perubahan yang positif mahupun negatif pada diri sendiri. Berapa lama/jam yang telah kita habisi bersama sahabat berbanding masa kita di rumah. Masalah sosial kini juga banyak berpunca daripada pengaruh rakan. Bukan maksud ustazah kita pinggirkan rakan yang bermasalah, tetapi kita jadilah rakan yang dapat membimbing mereka. Sebagai contoh, kamu diberi pilihan berkawan dengan 2 orang yang berlainan situasi, rakan A seorang yang berpendidikan agama, menutup aurat, dan suka mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran.Manakala rakan B pula, baik hati, berpakaian seksi serta suka kepada hiburan. Yang manakah akan kamu rasa tenteram bersamanya? Fikir-fikirkanlah...............

Sebagai kesimpulan, seorang sahabat yang baik adalah sahabat yang mampu mengingatkan kita kepada kebesaran Allah, yang mampu mengingatkan kita tentang azab dan siksaan Allah serta mampu berada disisi kita apabila kita berada dalam kesusahan. Semoga kita mampu menjadi sahabat yang sejati di dunia jua di akhirat....... insya Allah.


( sumber rujukan :Indahnya hidup bersyariat-Dato' Ismail Kamus )

Disini, kita bertemu...menjalin ukhuwah keranaNYA......