Thursday, November 11, 2010

Hiburan dalam konteks islam.....

Dewasa ini, hiburan sudah menjadi sebahagian daripada halwa telinga seluruh manusia. Justeru dalam mendepani era pembangunan dan kemajuan yang pelbagai, dunia hiburan juga sudah semakin rancak menghidang pelbagai agenda yang dapat menarik minat masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan . Lihat sahajalah di kaca televisyen, pelbagai rangkaian sudah mula diperkenalkan, malah di astro dan di corong radio. Terkadang, saya agak sedih dengan hidangan yang diberikan, kerana bagi saya hiburan yang ditonjolkan kini tidak banyak yang dapat memberi input positif dikalangan kita umat islam khususnya.

Namun, dalam islam hiburan bukanlah sesuatu yang menjadi kesalahan besar bagi sesiapa yang mendengarnya. Malah islam sendiri telah menggariskan beberapa hiburan yang secara tidak langsung dapat membentuk keperibadian diri, dan yang paling penting hiburan yang dapat menghampirkan kita kepada sang pencipta Rabbul Izzati.....

Hiburan merupakan satu fitrah yang disukai oleh semua manusia. Semua orang menginginkan hiburan untuk menghiburkan hati mereka. Namun, adakah mereka memanfaatkan sepenuhnya hiburan tersebut ke jalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT atau menyalahgunakan hiburan tersebut untuk perkara-perkara maksiat ?

Dalam bahasa arab, hiburan disebut " al-lahw " yang bermaksud perkara yang melekakan manusia daripada pelbagai gangguan, pemikiran dan masalah yang mengganggu tidur mereka. Ia juga tidak mempunyai hakikat yang sabit seperti bermain, berjenaka, bersembang malam, menyanyi dan sebagainya.

Hukum hiburan :

1) Hiburan yang tidak memberi apa-apa kesan yang buruk atau baik.
Contohnya : Berada dalam majlis yang penuh dengan gurauan dan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan membuang masa. Hukum hiburan sebegini adalah ( makruh ).

2) Hiburan yang memberi kesan buruk.
Contohnya: Berhibur sehingga mengabaikan solat, Hukumnya adalah ( haram ).

3) Hiburan yang memberi kebaikan
Contohnya : Hiburan yang memberi kebaikan kepada individu dan masyarakat seperti sukan memanah, permainan berfaedah, nyanyian nasyid atau zikir yang dapat mendekatkan diri kepada Allah, hukumnya adalah ( harus dan dibenarkan ).

Segala apa yang saya coretkan adalah atas dasar perkongsian ilmu. Terkadang sebagai manusia biasa kita sentiasa leka dengan hiburan2 yang menyebabkan kita lambat menunaikan solat malah kadang-kala meninggalkan terus solat, sedangkan solat itu perkara utama/pokok yang wajar diutamakan. Buat diri sendiri serta anak2 remaja, pilihlah hiburan yang dpt mendidik akhlak kalian agar mampu menjadi hamba Allah yang benar2 beriman, nilai sahaja, andai kita ditimpa musibah, fitrahnya manusia akan kembali sujud dan berdoa kepada Allah. Malah al-quran dan zikir sentiasa menjadi pendamping setia. Mengapa kita tidak memilih alunan muzik yang mengkhayalkan oleh nyanyian artis2 pujaan? Inilah dia fitrah semulajadi manusia, bukankan zikir dan bacaan ayat suci al-Quran itu juga sebahagian daripada hiburan ? Tepuk dada tanyalah iman.

Wednesday, May 5, 2010

Jangan bersedih...selagi kita beriman kepada Allah Ta'ala...


Assalamualaikum...

Mudah-mudahan kita semua beroleh keberkatan di pagi Jumaat yang sungguh mulia ini...( saidul ayyam )- penghulu sekelian hari.

Teman-teman yang diksihi fillah,
Air mata sinonim dengan kesedihan, kepiluan, kemarahan dan sebagainya. Namun, apabila kita mengatakan seseorang itu sedih, sudah pasti kita akan menggambarkan dirinya akan bergenang dengan air mata ataupun menangis. Itu adalah fitrah semulajadi manusia. Mungkin dengan tangisan itu akan meleraikan kesemua kesulitan, kepedihan, kemarahan, atau dengan tangisan juga menggambarkan epilog keinsafan seorang hamba.

Junjungan besar nabi kita juga punya rasa sedih. Baginda, seperti manusia biasa, miliki rasa kesedihan dan kepiluan itu apabila diuji dengan kewafatan isteri nan tercinta, Saidatina Khadijah Binti Khuwailid, yang selama ini menjadi pendokong dan tulang belakang perjuangan baginda. Malah baginda juga bersedih, apabila bapa saudaranya, Abi Thalib yang dikasihi meninggal dunia. Namun bagaimana kita semua menerima kesedihan itu? Adakah kita akan menyalahkan takdir atau diri sendiri atau orang lain sehingga bertahun-tahun lamanya?

" La, tahzan...innallah ma'ana" tidak salah kita bersedih, kerana kesedihan itu juga anugerah dari Allah. Mungkin daripada kesedihan itu merapatkan lagi hubungan kita bersamaNYA. Menghalusi sifat kehambaan dan rububiyah dalam diri kita. Ingat wahai teman, setiap ujian yang melanda ke atas hambanya sudah dihitung tahap kemampuan fizikal dan mental hambanya. Justeru itu jika kita lihat, setiap hambanya akak diuji dengan pelbagai ujian/dugaan yang berbeza. Allah bukanlah kejam, malam dia bersifat Al-Hakim, maha mengetahui setiap kekuatan hambanya........Terimalah setiap kesedihan, ujian itu dengan hati yang redho, mulus dan tulus. Janganlah bersedih, selagi kita beriman kepada Allah......kerana setiap tangisan itu akan dinilai, alangkah indahnya, andai airmata yang menitis itu kerana mengharapkan keampunanNYA serta keredhoaanNya, bukan tangisan keduniaan semata-mata....

Wallahu a'lam.

Thursday, February 25, 2010

Tarbiyah jiwanya dengan sifat Syukur.......


Assalamualaikum dan salam 12 Rabiul awal 1430 H.

Seawal pagi, selesai menunaikan solat subuh, berwirid dan mengaji selembar al-Quran, saya terus ke dapur menyediakan sarapan buat insan-insan yang saya kasihi. Kali ini menu saya adalah nasi goreng kampung dan air susu buat anak-anak. Sebenarnya tidak terniat difikiran saya untuk menggoreng nasi seawal pagi, namun disebabkan nasi itu adalah lebihan semalam, saya masukkan ke dalam fridge, kemudian perbaharui pada pagi ini dengan citarasa yang baru. Bermula dari nasi yang plain, kini telah bertukar warna dan rasanya sekali. Hmm....apa ya tajuk saya pagi ini?
Sebenarnya , bukanlah saya ingin menceritakan tentang menu masakan, tetapi satu tazkirah ringkas yang boleh kita kongsi bersama, lebih-lebih lagi bagi kita yang bergelar suri dan ibu serta telah pun berkeluarga. Teman-teman yang dikasihi fillah, acapkali kita sering mendengar hadis nabi yang berbunyi.... " membazir itu amalan syaitan ", dan anak-anak kita juga telah sinonim dengan kata-kata tersebut. Tetapi sejauh manakah kita mempraktikkan rasa syukur diatas nikmat yang Allah berikan kepada kita , lebih-lebih lagi ketika di meja makan?
Justeru itu, sebagai ibu bapa muslimah, nilai rasa syukur perlu kita terapkan di jiwa anak-anak sedari dia kecil lagi. Maksud saya semenjak dia mula mengenal makanan. Ironinya, anak-anak memang sukar untuk makan malah untuk menghabiskan makanan mereka. Kadang-kala, orang dewasa pun begitu juga. Alangkah gerunnya kita, andai dibuka hijab oleh Allah agar dapat mendengar rintihan makanan yang telah kita bazirkan di tong sampah.
Bicara saya ini, adalah sebagai peringatan jua buat diri saya. Memang benar, bukan mudah untuk mendidik rasa syukur walaupun acapkali kita menyatakan rasa syukur itu melalui ungkapan bibir, tetapi sejauh mana kita mempraktikkannya. Saya juga seorang ibu yang tidak pernah lari dan culas dalam menyediakan makanan sehingga berlaku pembaziran. Tetapi saya berazam, agar saya dapat mendidik sifat syukur dan amalan tidak membazir, agar permata hati saya juga mampu mengikut apa yang saya lakukan melalui pemerhatian mereka.
Setiap menjamah juadah, saya pasti menyediakan mengikut kuantiti masing-masing. Anak-anak sering saya nasihati agar makan dengan bersih sehingga tidak tertinggal walau sezarah mana melainkan tulang. Saya semai pada diri mereka, agar sentiasa bersyukur dan mengamati serta menyelami nasib rakan-rakan seusia mereka di negara yang dilanda kebuluran. Malah saya tonjolkan kepada mereka bagaimana saya dan suami akan makan dengan bersih. Mereka memerhati dan bertanya apabila melihat saya dan suami akan menjilat jari selesai makan. Mulanya mereka malu, malah si kakak pernah menyatakan perbuatan tersebut seperti orang yang gelojoh. Saya tersenyum, serta menyatakan secara rasionalnya kepadanya. Sesungguhnya apa yang saya lakukan itu adalah sunnah Rasulullah dan secara teori sainsnya, setiap jari kita apabila kita menghisapnya akan mengeluarkan enzim yang akan membantu sistem penghadaman agar lebih baik. Lihat, bukankah setiap yang dibuat oleh rasul kita ada manfaatnya? Namun amalan ini tidak sinonim bagi masyarakat kita, kerana ia tidak terdidik sedari kecil, tetapi tidak bagi masyarakat arab.
Justeru itu, wahai para ibu yang dikasihi, semailah amalan tidak membazir pada diri anak-anak agar mereka dapat menuai rasa syukur di atas kurniaan Allah kepada mereka. Sesungguhnya setia makanan yang kita makan salah satunya ada yang paling berkat. Mungkin yang kita suap di mulut itu yang berkat, dan mungkin yang tertinggal, atau tertumpah atau yang sengaja ditinggalkan , itu yang berkat, kerana makanan yang berkat itulah yang mampu menjadikan manusia itu hambanya yang soleh. Andai makanan itu tidak mampu kita habisi, ayuh kita kongsikan bersama makhluk Allah diluar sana yang tidak pernah merungut hatta diberikan nasi yang basi atau sisa-sisa daripada kita. Kerana apa? Kerana mereka adalah hambaNYA yang bersyukur..............................

Disini, kita bertemu...menjalin ukhuwah keranaNYA......