Tuesday, August 7, 2012

Hikmah Ramadhan.....




                                 


Assalamualaikum.......

Salam Ramadhan buat semua teman maya ustazah. Rasanya belum terlewat untuk ustazah berkongsi bersama, mencurah ilmu , moga-moga, ilmu yang sedikit ini menjadi bekalan buat ustazah di akhirat  kelak, insya Allah.
      Bulan Ramadhan penuh dengan pelbagai hikmah yang tersurat dan tersirat. Hikmah yang paling besar adalah untuk mendidik jiwa dan nafsu agar dapat mencapai makam takwa. Takwa adalah sifat yang terpuji, kerana dengan takwa mampu mencegah diri daripada melakukan dosa dan maksiat.
       Keduanya, puasa juga menjadi benteng dan perisai bagi seseorang. Perisai daripada nafsu. Hanya dengan berpuasa nafsu seseorang dapat dilemahkan, kerana angkara nafsu ramai manusia yang musnah dan rosak imannya. Justeru itu, nafsu perlu dididik agar terbentuk nafsu yang baik.
       Ketiga, puasa juga dapat melembutkan hati. Ya betul.......inilah yang ustazah rasai. Apabila berpuasa kita akan merasai penderitaan yang dilalui oleh teman-teman yang berada di negara miskin. Pantang melihat orang yang susah, hati mudah terjentik, simpati dan empati. Apatah lagi apabila tibanya waktu berbuka.....tersentuh hati, bila melihat juadah yang pelbagai, bagaimana pula nasib rakan-rakan yang tidak berada, miskin, dan yang berada di negara perang? Hebatkan? Ustazah rasa, anak-anak sekalian pasti akan merasainya juga. Apabila hati lembut, maka lembutlah bagi seseorang untuk bersedekah........dan ingat, sesungguhnya sedekah yang ikhlas itu bisa menjadi benteng buat kita daripada api neraka....insya Allah.
         Keempat, puasa juga mendidik kita agar bersikap amanah. Amanah kepada Allah dan diri sendiri. Tiada orang yang tahu kita berpuasa penuh atau tidak. Sebab itu, puasa itu hak Allah. Contohnya, cuaca tersangatlah panas hari ini. Kita pun mandi, sambil mandi kita minum air paip....tiada siapa yang tahu.....hanya Allah dan kita sahaja. Oleh itu amanahlah pada diri sendiri, kerana Allah sentiasa tahu apa yang kita lakukan.....
          Kelima, puasa juga akan menajamkan akal. Sangat istimewakan? Siapa kata berpuasa menjadikan kita lemah dan tak boleh menerima ilmu? Sebagai pendidik, ustazah mengakuinya, bahawa puasa ini sangat hebat! Apabila bulan puasa, anak-anak didik ustazah tekun dan mudah menerima apa yang di ajar, apatah lagi hati mereka lembut kerana berpuasa. Mudah mendengar kata. Sebab itu amalan berpuasa sunat dijadikan rutin bagi pelajar-pelajar yang berjaya. Cubalah anak-anak, selepas tamatnya Ramadhan, berusahalah untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. 
Kata -kata hikmat daripada Luqmanul Hakim :
" Apabila perut penuh dengan makanan, maka fikiran akan tidur, kebijaksanaan akan diam dan anggota badan menjadi malas ".
          Keenam, puasa juga boleh mengurangkan keagresifan dan keaktifan nafsu syahwat. Maka mungkin dengan sebab ini Nabi s.a.w menganjurkan agar orang yang tak mampu berkahwin untuk berpuasa.

( Rujukan : Soal-jawab puasa - Dato' Hj. Ismail Kamus )

Tuesday, April 5, 2011

Adab bersahabat.....



Sahabat diumpamakan seperti sebahagian daripada hidup kita. Sehingga ke hari ini tidak ada seorang manusia pun yang hidup tanpa seorang sahabat. Junjungan besar nabi kita Muhammad SAW juga mempunyai ramai sahabat sehingga ke pelosok benua. Seorang sahabat juga mampu menjadi pemimpin dan mampu menjadi seorang pemusnah. Namun, berapa ramai yang boleh menjadi seorang sahabat sejati buat teman-temannya. Mungkin ramai yang hanya mampu bergelar seorang kawan, teman atau rakan.

Difinisi sahabat terlalu mendalam. Sahabat yang baik mampu membimbing sahabatnya ke arah yang diredhoi oleh Allah. Hari ini ustazah akan berkongsi bersama mengenai adab-adab dalam bersahabat.

Firman Allah di dalam surah al-Kahfi :28, bermaksud :

" Dan janganlah engkau menurut orang yang telah kami lalaikan hatinya daripada mengingati kami, lalu ia mengikutkan hawa nafsunya. "

Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Rasullullah SAW yang bermaksud :

" Seseorang itu atas agama ( perjalanan ) rakannya, maka hendaklah diperhatikan siapa yang harus dipilih sebagai teman/ rakan. "

Ayat-ayat ini menegah kita bersahabat dengan orang yang fasiq yang sentiasa melanggar perintah Allah walaupun adakalanya dia melakukan amal ibadat.

Al-Qamah seorang ulama masyhur dahulu kala memberikan beberapa panduan kepada anaknya dalam memilih sahabat, antaranya :

1) Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan membantu mengusahakan pertolongan itu sedaya upaya.

2) Jika dia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, dia akan menghargainya.

3) Jika engkau membuat bakti kepadanya pasti dia akan melindungimu.

4) Jika engkau berdua berselisih faham, dia akan mengalah untuk menjaga ikatan persahabatan itu. Dan yang paling penting sahabat yang baik adalah sahabat yang mampu menutup keaiban sahabatnya sendiri.

Justeru itu, ustazah ingin mengajak anak2 didik yang dikasihi, agar bijak memilih sahabat yang terbaik buat kita, kerana impak sahabat ini terlalu kuat dan mampu memberi perubahan yang positif mahupun negatif pada diri sendiri. Berapa lama/jam yang telah kita habisi bersama sahabat berbanding masa kita di rumah. Masalah sosial kini juga banyak berpunca daripada pengaruh rakan. Bukan maksud ustazah kita pinggirkan rakan yang bermasalah, tetapi kita jadilah rakan yang dapat membimbing mereka. Sebagai contoh, kamu diberi pilihan berkawan dengan 2 orang yang berlainan situasi, rakan A seorang yang berpendidikan agama, menutup aurat, dan suka mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran.Manakala rakan B pula, baik hati, berpakaian seksi serta suka kepada hiburan. Yang manakah akan kamu rasa tenteram bersamanya? Fikir-fikirkanlah...............

Sebagai kesimpulan, seorang sahabat yang baik adalah sahabat yang mampu mengingatkan kita kepada kebesaran Allah, yang mampu mengingatkan kita tentang azab dan siksaan Allah serta mampu berada disisi kita apabila kita berada dalam kesusahan. Semoga kita mampu menjadi sahabat yang sejati di dunia jua di akhirat....... insya Allah.


( sumber rujukan :Indahnya hidup bersyariat-Dato' Ismail Kamus )

Thursday, November 11, 2010

Hiburan dalam konteks islam.....

Dewasa ini, hiburan sudah menjadi sebahagian daripada halwa telinga seluruh manusia. Justeru dalam mendepani era pembangunan dan kemajuan yang pelbagai, dunia hiburan juga sudah semakin rancak menghidang pelbagai agenda yang dapat menarik minat masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan . Lihat sahajalah di kaca televisyen, pelbagai rangkaian sudah mula diperkenalkan, malah di astro dan di corong radio. Terkadang, saya agak sedih dengan hidangan yang diberikan, kerana bagi saya hiburan yang ditonjolkan kini tidak banyak yang dapat memberi input positif dikalangan kita umat islam khususnya.

Namun, dalam islam hiburan bukanlah sesuatu yang menjadi kesalahan besar bagi sesiapa yang mendengarnya. Malah islam sendiri telah menggariskan beberapa hiburan yang secara tidak langsung dapat membentuk keperibadian diri, dan yang paling penting hiburan yang dapat menghampirkan kita kepada sang pencipta Rabbul Izzati.....

Hiburan merupakan satu fitrah yang disukai oleh semua manusia. Semua orang menginginkan hiburan untuk menghiburkan hati mereka. Namun, adakah mereka memanfaatkan sepenuhnya hiburan tersebut ke jalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT atau menyalahgunakan hiburan tersebut untuk perkara-perkara maksiat ?

Dalam bahasa arab, hiburan disebut " al-lahw " yang bermaksud perkara yang melekakan manusia daripada pelbagai gangguan, pemikiran dan masalah yang mengganggu tidur mereka. Ia juga tidak mempunyai hakikat yang sabit seperti bermain, berjenaka, bersembang malam, menyanyi dan sebagainya.

Hukum hiburan :

1) Hiburan yang tidak memberi apa-apa kesan yang buruk atau baik.
Contohnya : Berada dalam majlis yang penuh dengan gurauan dan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan membuang masa. Hukum hiburan sebegini adalah ( makruh ).

2) Hiburan yang memberi kesan buruk.
Contohnya: Berhibur sehingga mengabaikan solat, Hukumnya adalah ( haram ).

3) Hiburan yang memberi kebaikan
Contohnya : Hiburan yang memberi kebaikan kepada individu dan masyarakat seperti sukan memanah, permainan berfaedah, nyanyian nasyid atau zikir yang dapat mendekatkan diri kepada Allah, hukumnya adalah ( harus dan dibenarkan ).

Segala apa yang saya coretkan adalah atas dasar perkongsian ilmu. Terkadang sebagai manusia biasa kita sentiasa leka dengan hiburan2 yang menyebabkan kita lambat menunaikan solat malah kadang-kala meninggalkan terus solat, sedangkan solat itu perkara utama/pokok yang wajar diutamakan. Buat diri sendiri serta anak2 remaja, pilihlah hiburan yang dpt mendidik akhlak kalian agar mampu menjadi hamba Allah yang benar2 beriman, nilai sahaja, andai kita ditimpa musibah, fitrahnya manusia akan kembali sujud dan berdoa kepada Allah. Malah al-quran dan zikir sentiasa menjadi pendamping setia. Mengapa kita tidak memilih alunan muzik yang mengkhayalkan oleh nyanyian artis2 pujaan? Inilah dia fitrah semulajadi manusia, bukankan zikir dan bacaan ayat suci al-Quran itu juga sebahagian daripada hiburan ? Tepuk dada tanyalah iman.

Wednesday, May 5, 2010

Jangan bersedih...selagi kita beriman kepada Allah Ta'ala...


Assalamualaikum...

Mudah-mudahan kita semua beroleh keberkatan di pagi Jumaat yang sungguh mulia ini...( saidul ayyam )- penghulu sekelian hari.

Teman-teman yang diksihi fillah,
Air mata sinonim dengan kesedihan, kepiluan, kemarahan dan sebagainya. Namun, apabila kita mengatakan seseorang itu sedih, sudah pasti kita akan menggambarkan dirinya akan bergenang dengan air mata ataupun menangis. Itu adalah fitrah semulajadi manusia. Mungkin dengan tangisan itu akan meleraikan kesemua kesulitan, kepedihan, kemarahan, atau dengan tangisan juga menggambarkan epilog keinsafan seorang hamba.

Junjungan besar nabi kita juga punya rasa sedih. Baginda, seperti manusia biasa, miliki rasa kesedihan dan kepiluan itu apabila diuji dengan kewafatan isteri nan tercinta, Saidatina Khadijah Binti Khuwailid, yang selama ini menjadi pendokong dan tulang belakang perjuangan baginda. Malah baginda juga bersedih, apabila bapa saudaranya, Abi Thalib yang dikasihi meninggal dunia. Namun bagaimana kita semua menerima kesedihan itu? Adakah kita akan menyalahkan takdir atau diri sendiri atau orang lain sehingga bertahun-tahun lamanya?

" La, tahzan...innallah ma'ana" tidak salah kita bersedih, kerana kesedihan itu juga anugerah dari Allah. Mungkin daripada kesedihan itu merapatkan lagi hubungan kita bersamaNYA. Menghalusi sifat kehambaan dan rububiyah dalam diri kita. Ingat wahai teman, setiap ujian yang melanda ke atas hambanya sudah dihitung tahap kemampuan fizikal dan mental hambanya. Justeru itu jika kita lihat, setiap hambanya akak diuji dengan pelbagai ujian/dugaan yang berbeza. Allah bukanlah kejam, malam dia bersifat Al-Hakim, maha mengetahui setiap kekuatan hambanya........Terimalah setiap kesedihan, ujian itu dengan hati yang redho, mulus dan tulus. Janganlah bersedih, selagi kita beriman kepada Allah......kerana setiap tangisan itu akan dinilai, alangkah indahnya, andai airmata yang menitis itu kerana mengharapkan keampunanNYA serta keredhoaanNya, bukan tangisan keduniaan semata-mata....

Wallahu a'lam.

Thursday, February 25, 2010

Tarbiyah jiwanya dengan sifat Syukur.......


Assalamualaikum dan salam 12 Rabiul awal 1430 H.

Seawal pagi, selesai menunaikan solat subuh, berwirid dan mengaji selembar al-Quran, saya terus ke dapur menyediakan sarapan buat insan-insan yang saya kasihi. Kali ini menu saya adalah nasi goreng kampung dan air susu buat anak-anak. Sebenarnya tidak terniat difikiran saya untuk menggoreng nasi seawal pagi, namun disebabkan nasi itu adalah lebihan semalam, saya masukkan ke dalam fridge, kemudian perbaharui pada pagi ini dengan citarasa yang baru. Bermula dari nasi yang plain, kini telah bertukar warna dan rasanya sekali. Hmm....apa ya tajuk saya pagi ini?
Sebenarnya , bukanlah saya ingin menceritakan tentang menu masakan, tetapi satu tazkirah ringkas yang boleh kita kongsi bersama, lebih-lebih lagi bagi kita yang bergelar suri dan ibu serta telah pun berkeluarga. Teman-teman yang dikasihi fillah, acapkali kita sering mendengar hadis nabi yang berbunyi.... " membazir itu amalan syaitan ", dan anak-anak kita juga telah sinonim dengan kata-kata tersebut. Tetapi sejauh manakah kita mempraktikkan rasa syukur diatas nikmat yang Allah berikan kepada kita , lebih-lebih lagi ketika di meja makan?
Justeru itu, sebagai ibu bapa muslimah, nilai rasa syukur perlu kita terapkan di jiwa anak-anak sedari dia kecil lagi. Maksud saya semenjak dia mula mengenal makanan. Ironinya, anak-anak memang sukar untuk makan malah untuk menghabiskan makanan mereka. Kadang-kala, orang dewasa pun begitu juga. Alangkah gerunnya kita, andai dibuka hijab oleh Allah agar dapat mendengar rintihan makanan yang telah kita bazirkan di tong sampah.
Bicara saya ini, adalah sebagai peringatan jua buat diri saya. Memang benar, bukan mudah untuk mendidik rasa syukur walaupun acapkali kita menyatakan rasa syukur itu melalui ungkapan bibir, tetapi sejauh mana kita mempraktikkannya. Saya juga seorang ibu yang tidak pernah lari dan culas dalam menyediakan makanan sehingga berlaku pembaziran. Tetapi saya berazam, agar saya dapat mendidik sifat syukur dan amalan tidak membazir, agar permata hati saya juga mampu mengikut apa yang saya lakukan melalui pemerhatian mereka.
Setiap menjamah juadah, saya pasti menyediakan mengikut kuantiti masing-masing. Anak-anak sering saya nasihati agar makan dengan bersih sehingga tidak tertinggal walau sezarah mana melainkan tulang. Saya semai pada diri mereka, agar sentiasa bersyukur dan mengamati serta menyelami nasib rakan-rakan seusia mereka di negara yang dilanda kebuluran. Malah saya tonjolkan kepada mereka bagaimana saya dan suami akan makan dengan bersih. Mereka memerhati dan bertanya apabila melihat saya dan suami akan menjilat jari selesai makan. Mulanya mereka malu, malah si kakak pernah menyatakan perbuatan tersebut seperti orang yang gelojoh. Saya tersenyum, serta menyatakan secara rasionalnya kepadanya. Sesungguhnya apa yang saya lakukan itu adalah sunnah Rasulullah dan secara teori sainsnya, setiap jari kita apabila kita menghisapnya akan mengeluarkan enzim yang akan membantu sistem penghadaman agar lebih baik. Lihat, bukankah setiap yang dibuat oleh rasul kita ada manfaatnya? Namun amalan ini tidak sinonim bagi masyarakat kita, kerana ia tidak terdidik sedari kecil, tetapi tidak bagi masyarakat arab.
Justeru itu, wahai para ibu yang dikasihi, semailah amalan tidak membazir pada diri anak-anak agar mereka dapat menuai rasa syukur di atas kurniaan Allah kepada mereka. Sesungguhnya setia makanan yang kita makan salah satunya ada yang paling berkat. Mungkin yang kita suap di mulut itu yang berkat, dan mungkin yang tertinggal, atau tertumpah atau yang sengaja ditinggalkan , itu yang berkat, kerana makanan yang berkat itulah yang mampu menjadikan manusia itu hambanya yang soleh. Andai makanan itu tidak mampu kita habisi, ayuh kita kongsikan bersama makhluk Allah diluar sana yang tidak pernah merungut hatta diberikan nasi yang basi atau sisa-sisa daripada kita. Kerana apa? Kerana mereka adalah hambaNYA yang bersyukur..............................

Tuesday, December 15, 2009

Kemanisan di sebalik Solat Dhuha........




Kehidupan kita diibaratkan sebatang sungai yang mengalir sepanjang perjalanan. Sepanjang melalui perjalanan itu, kita sudah pasti akan menyelosori onak duri serta pelbagai tentangan yang bakal menjadi suapan sejarah kehidupan. Sepanjang itu juga kita mempelajari bimbingan dan kebangkitan daripada kejatuhan yang bisa menjadi pengajaran dalam kehidupan.


Manusia itu fitrahnya patuh dan akur pada penciptaNYA. Namun masih ada juga manusia yang akan kembali dan menyerah diri kepada Allah apabila ditimpa kesusahan. Lumrahnya, kebanyakan manusia bisa kental dengan dugaan berupa cemuhan, kritikan, umpatan tetapi manusia mudah lolos dengan dugaan yang berupa material. Inilah yang dinamakan syurga dunia.....

Mendepani kehidupan dalam era pembangunan serta kemerosotan ekonomi global, sudah pasti mencemaskan jutaan pelusuk manusia. Maka tidak hairan jika ramai anak-anak gadis yang masih mentah berusaha menggadai maruah diri demi mencari kesenangan hidup. Malah semakin ramai manusia yang sudi merebut jawatan " peragut " asalkan habuan yang diperolehi berbaloi-baloi, tidak kisah nyawa manusia yang tidak bersalah menjadi taruhan. Malah terlalu ramai mereka yang berusaha memeras kekayaan disebalik kemiskinan dan kesempitan orang lain tanpa menyelami kesengsaraan insan yang dizalimi asalkan perut anak bini terisi. Aduhai teman, beginilah keadaannya jika manusia tidak berharta, bukan sahaja maruah diri yang digadai, malah yang paling sedih jika akidah juga tergolok tergadai......nauzubillah......

Teman-teman yang dirahmati Allah, ingin saya berkongsi sedikit ilmu yang saya perolehi melalui bacaan saya daripada sebuah buku yang bertajuk " Magnet rezeki dengan solat Dhuha - Muhamad Mokhtar ". Selain itu kolaborasi ilmu ini juga saya perolehi melalui perbincangan hiwar bersama suami dan teman-teman serta tazkirah daripada Ustaz Zahazan. Mudah-mudahan ilmu yang sedikit ini dapat dikongsi serta membawa keberkatan buat kita bersama, amin....

Hati akan gelisah bila duit dipoket semakin susut nilainya. Diri pula selalu mengeluh.." hai kenapalah aku tak kaya macam si pulan bin pulan ni? ". Jiwa pula tak tenteram, tak ada mood, bungkam, serabut...semuanya jika tiada wang. Itulah fitrahnya manusia. Tetapi, tidak inginkah teman-teman satu amalan mudah yang bukan sahaja mendatangkan kemurahan rezeki, tetapi dapat menjauhkan kemiskinan serta melapangkan jiwa seandainya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan sentiasa istiqomah. Itulah keberkatan solat sunat Dhuha. Hakikatnya, sudah ramai yang mengetahui fadhilat disebalik solat dhuha ini, cuma mengapa masih tunggu lagi, ayuhhh!!! Bersamalah kita menjadikan solat sunat dhuha ini bersama-sama secara istiqomah, insya allah hasilannya tidak mengecewakan. Sesungguhnya allah itu tidak pernah menzalimi hamba-hambanya, hanya hambanya sahaja yang selalu menzalimi diri sendiri. Di bawah ini saya sertakan cara-cara solat sunat dhuha buat teman-teman yang ingin mempelajarinya:

SOLAT SUNAT DHUHA

1) Bilangan rakaat : 2 hingga 12 rakaat (2 rakaat 1 salam)

  • rakaat pertama - surah al-fatihah & surah as-syams / surah dhuha
  • rakaat kedua - surah al-fatihah & surah insyirah / surah al-ihlas

2) Waktu : Pagi anggaran 8.00 pagi hingga 11.00 pagi

Niatnya:

"Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Ta'ala"

Baca ketika sujud yang terakhir - 3 kali

Baca doa ini selesai solat

Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikanny adalah kecantikanMu,
keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu,
kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.
Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah,
jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah.
Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu,
limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh

Insya Allah, jika umat islam era kini menjadikan solat Dhuha sebahagian daripada santapan rohani mereka, tidak akan ada kemiskinan yang membelenggu masyarakat islam kini sehingga terpaksa menggadaikan aqidah semata-mata untuk mencari kesenangan hidup. Sesungguhnya solat dhuha memberi ketenangan pada diri dan hati nurani . Percayalah, jika saudara/saudari istiqomah melaksanakannya, pasti hati akan gundah gulana jika tidak melakukannya sehari. Perlu kita ingat bahawa rezeki Allah itu bukan berbentuk harta atau wang ringgit semata-mata malah , rezeki kelapangan/ kemudahan melakukan urusan, rezeki anak, kesihatan, kebahagiaan dan segala-galanya. Namun sebagai umat islam yang beriman kepadaNya, kita tidak boleh mengharapkan doa tanpa perlunya usaha yang gigih dan diberkati. Kesungguhan dalam bekerja, ditambah dengan pengharapan doa dan solat serta tawakal, insya allah hasilannya lumayan!

Teman-teman, usah berteleku lagi. Ayuh laksanakannya. Sesungguhnya rezeki manusia adalah rahsia Allah. Oleh itu kita perlu berusaha mencari rezeki melalui pintu dan kunci yang tepat. Antara kunci rezeki itu adalah solat duha dan pintunya adalah usaha yang bersungguh-sungguh.........wallahua'lam......

Thursday, November 19, 2009

Ibu bapa pencorak akhlak anak-anak.....


Syukur alhamdulillah, cuti sekolah sudah pun bermula. Sekurang2nya anak2 ini mempunyai lebih kurang 42 hari atau lebih dalam memaksimumkan cuti persekolahan akhir tahun bagi sesi 2009 ini.
Ingin aku berkongsi pendapat dan pandangan yang kuambil daripada khutbah Jumaat yang didengari melalui corong radio IKIM sebentar tadi. Isi khutbah hari ini benar2 membuka minda dan pandanganku mengenai kepentingan serta peranan ibu bapa dalam mencorak akhalak generasi kini.Justeru itu, melalui wadah ini aku ingin berkongsi segalanya bersama teman2 dan para pembaca, mudah2an catatan ini bisa menjadi momentum buat kita semua yang telah pun bergelar ibu bapa, umi abi, mama ataupun papa.
Anak, merupakan satu anugerah yang cukup ternilai dan tidak terhitung syukurnya jika pasangan yang berkahwin dikurniakan cahaya mata. Namun, adakah kehadiran mereka ini sebagai penyeri mata, atau sebaliknya? Bagaimana pula nasib mereka di masa depan? Adakah mereka ini mampu menjadi modal insan yang beriman kelak? Pokok pangkalnya terletak dibahu kita sebagai pemegang amanah yang telah dipilih oleh Al-Khaliq . Fitrahnya anak-anak itu lahirnya suci, putih dan bersih.....ibu bapanyalah yang akan mencoraknya, sama ada menjadi yahudi, nasrani ataupun muslim sejati.
Dewasa ini, kesibukan para ibu bapa yang berkerjaya, menyebabkan anak-anak terabai fizikal dan mentalnya, rohani dan jasmaninya.Anak-anak ini lebih banyak menghabiskan masa mereka bersama pembantu rumah, pengasuh atau sebagainya. Bukan tujuan saya memperkecilkan kepentingan mereka , walhal saya sendiri tahu mereka juga mempunyai peranan tersendiri, namun sebagai ibu bapa kita perlu lebih prihatin dan "cemburu" dengan siapakah anak2 ini menumpang kasih dan sayang. Jangan jadikan kesibukan kita sebagai batu penghalang untuk kita agar terus mendidik dan mentarbiyah anak2 sendiri. Junjungan besar nabi kita Muhammad S.A.W juga pernah diasuh oleh beberapa pengasuh yang hebat antaranya Halimatus Sa'diah yang diakui memiliki akhlak dan nilai-nilai murni serta kehidupan yang cukup sederhana yang mana memberi impak yang positif kepada baginda sehingga baginda terdidik dengan sifat2 sabar, berdikari, dan memiliki sifat2 mahmudah yang terpuji.
Namun, dalam mendepani era globalisasi yang menakutkan, pemodenan berlaku secara mendadak, pemikiran manusia semakin terbuka , anak2 hampir2 melupakan nilai2 murni yang dituntut oleh agama. Sifat malu sudah tidak menjadi tabir dalam kehidupan, malah kemaksiatan dilakukan dengan sukarela dan kebanggaan. Sedih...sedih...sedih...jika memikirkan keruntuhan akhlak yang berlaku kini.Jika fenomena ini terus membasahi umat islam, maka akan berlakulah lagi keruntuhan empayar islam seperti yg berlaku di zaman khalifah uthmaniah, malah tidak mustahil bala Allah akan menimpa kita sebagai umatnya yang semakin hanyut dengan bisikan nafsu syaitan.
Justeru, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan beriman, perancangan perlu kita buat. Mesti ada misi dan visi. Rancang beberapa program yang dapat membina jatidiri nilai-nilai murni untuk anak2 kita. Setkan program yang dapat menyubur kembali akidah mereka. Mungkin cuti yang panjang ini kita dapat perbaiki ilmu fardhu ain anak2, buatkan jadual ulangkaji, bawa mereka ke tempat2 percutian yang bukan saja mengundang rasa keseronokan, malah dapat menyemai rasa syukur yang tidak terhingga di atas kurniaan nikmat yang maha esa. Malah tidak salah jika kita sama-sama beriadah bersama mereka. Sesungguhnya anak2 yang masih setahun jagung ini belum lagi matang temikiran mereka, akalnya pendek, justeru itu, andai mereka diuji dengan pelbagai cabaran yang mendatang, mereka akan mudah terikut2 rakan2 atau sesiapa sahaja yg akrab dengan mereka. Didiklah jiwa mereka agar menjadikan junjungan besar nabi kita , para sahabt dan orang-orang soleh sebagai ikon yang boleh dicontohi. Sesungguhnya media massa juga telah banyak mempengaruhi pemikiran, tatasusila dan jatidiri anak2 masa kini. Bukan saya katakan media massa mendatangkan masalah. Setiap perkara itu ada pro dan kontranya, hanya kita sebagai org yang lebih dewasa kena bijak mengaturnya. Janganlah cuti sekolah anak2 lebih byk menghabiskan masa mereka dengan menonton rancangan televisyen semata2. Program hiburan yang melalaikan yang mampu memberi kesan cepat kepada anak2 kita. Bicara saya ini adalah peringatan buat diri sendiri kerana saya juga seorang ibu yang sentiasa sibuk. Bersyukur saya kerana di beri peluang mendengar khutbah ini. Mudah-mudahan masih belum terlambat untuk saya mengatur perjalanan masa cuti anak2 saya dengan perkara yang paling berfaedah. Kadang-kala saya rasa cukup tersentuh apabila melihat seorang ibu dikurniakan seorang anak yang soleh. Alangkah bertuahnya badan. Jadi saya berazam, jika saya punya strategi tertentu disamping penyerahan diri sepenuhnya kepada illahi, insya Allah impian saya juga akan tercapai. Sudah tentu ibu yang beruntung itu tidak duduk diam...mesti ada rahsia yang bisa dikongsi bersama......Bagaimana kita? Ayuh fikir2kanlah sebelum kita terlambat dan menangisi sesuatu yang tidak perlu kita tangisi......................wallahu a'lam.

Disini, kita bertemu...menjalin ukhuwah keranaNYA......