Tuesday, August 7, 2012

Hikmah Ramadhan.....




                                 


Assalamualaikum.......

Salam Ramadhan buat semua teman maya ustazah. Rasanya belum terlewat untuk ustazah berkongsi bersama, mencurah ilmu , moga-moga, ilmu yang sedikit ini menjadi bekalan buat ustazah di akhirat  kelak, insya Allah.
      Bulan Ramadhan penuh dengan pelbagai hikmah yang tersurat dan tersirat. Hikmah yang paling besar adalah untuk mendidik jiwa dan nafsu agar dapat mencapai makam takwa. Takwa adalah sifat yang terpuji, kerana dengan takwa mampu mencegah diri daripada melakukan dosa dan maksiat.
       Keduanya, puasa juga menjadi benteng dan perisai bagi seseorang. Perisai daripada nafsu. Hanya dengan berpuasa nafsu seseorang dapat dilemahkan, kerana angkara nafsu ramai manusia yang musnah dan rosak imannya. Justeru itu, nafsu perlu dididik agar terbentuk nafsu yang baik.
       Ketiga, puasa juga dapat melembutkan hati. Ya betul.......inilah yang ustazah rasai. Apabila berpuasa kita akan merasai penderitaan yang dilalui oleh teman-teman yang berada di negara miskin. Pantang melihat orang yang susah, hati mudah terjentik, simpati dan empati. Apatah lagi apabila tibanya waktu berbuka.....tersentuh hati, bila melihat juadah yang pelbagai, bagaimana pula nasib rakan-rakan yang tidak berada, miskin, dan yang berada di negara perang? Hebatkan? Ustazah rasa, anak-anak sekalian pasti akan merasainya juga. Apabila hati lembut, maka lembutlah bagi seseorang untuk bersedekah........dan ingat, sesungguhnya sedekah yang ikhlas itu bisa menjadi benteng buat kita daripada api neraka....insya Allah.
         Keempat, puasa juga mendidik kita agar bersikap amanah. Amanah kepada Allah dan diri sendiri. Tiada orang yang tahu kita berpuasa penuh atau tidak. Sebab itu, puasa itu hak Allah. Contohnya, cuaca tersangatlah panas hari ini. Kita pun mandi, sambil mandi kita minum air paip....tiada siapa yang tahu.....hanya Allah dan kita sahaja. Oleh itu amanahlah pada diri sendiri, kerana Allah sentiasa tahu apa yang kita lakukan.....
          Kelima, puasa juga akan menajamkan akal. Sangat istimewakan? Siapa kata berpuasa menjadikan kita lemah dan tak boleh menerima ilmu? Sebagai pendidik, ustazah mengakuinya, bahawa puasa ini sangat hebat! Apabila bulan puasa, anak-anak didik ustazah tekun dan mudah menerima apa yang di ajar, apatah lagi hati mereka lembut kerana berpuasa. Mudah mendengar kata. Sebab itu amalan berpuasa sunat dijadikan rutin bagi pelajar-pelajar yang berjaya. Cubalah anak-anak, selepas tamatnya Ramadhan, berusahalah untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. 
Kata -kata hikmat daripada Luqmanul Hakim :
" Apabila perut penuh dengan makanan, maka fikiran akan tidur, kebijaksanaan akan diam dan anggota badan menjadi malas ".
          Keenam, puasa juga boleh mengurangkan keagresifan dan keaktifan nafsu syahwat. Maka mungkin dengan sebab ini Nabi s.a.w menganjurkan agar orang yang tak mampu berkahwin untuk berpuasa.

( Rujukan : Soal-jawab puasa - Dato' Hj. Ismail Kamus )

No comments:

Disini, kita bertemu...menjalin ukhuwah keranaNYA......