Thursday, February 25, 2010

Tarbiyah jiwanya dengan sifat Syukur.......


Assalamualaikum dan salam 12 Rabiul awal 1430 H.

Seawal pagi, selesai menunaikan solat subuh, berwirid dan mengaji selembar al-Quran, saya terus ke dapur menyediakan sarapan buat insan-insan yang saya kasihi. Kali ini menu saya adalah nasi goreng kampung dan air susu buat anak-anak. Sebenarnya tidak terniat difikiran saya untuk menggoreng nasi seawal pagi, namun disebabkan nasi itu adalah lebihan semalam, saya masukkan ke dalam fridge, kemudian perbaharui pada pagi ini dengan citarasa yang baru. Bermula dari nasi yang plain, kini telah bertukar warna dan rasanya sekali. Hmm....apa ya tajuk saya pagi ini?
Sebenarnya , bukanlah saya ingin menceritakan tentang menu masakan, tetapi satu tazkirah ringkas yang boleh kita kongsi bersama, lebih-lebih lagi bagi kita yang bergelar suri dan ibu serta telah pun berkeluarga. Teman-teman yang dikasihi fillah, acapkali kita sering mendengar hadis nabi yang berbunyi.... " membazir itu amalan syaitan ", dan anak-anak kita juga telah sinonim dengan kata-kata tersebut. Tetapi sejauh manakah kita mempraktikkan rasa syukur diatas nikmat yang Allah berikan kepada kita , lebih-lebih lagi ketika di meja makan?
Justeru itu, sebagai ibu bapa muslimah, nilai rasa syukur perlu kita terapkan di jiwa anak-anak sedari dia kecil lagi. Maksud saya semenjak dia mula mengenal makanan. Ironinya, anak-anak memang sukar untuk makan malah untuk menghabiskan makanan mereka. Kadang-kala, orang dewasa pun begitu juga. Alangkah gerunnya kita, andai dibuka hijab oleh Allah agar dapat mendengar rintihan makanan yang telah kita bazirkan di tong sampah.
Bicara saya ini, adalah sebagai peringatan jua buat diri saya. Memang benar, bukan mudah untuk mendidik rasa syukur walaupun acapkali kita menyatakan rasa syukur itu melalui ungkapan bibir, tetapi sejauh mana kita mempraktikkannya. Saya juga seorang ibu yang tidak pernah lari dan culas dalam menyediakan makanan sehingga berlaku pembaziran. Tetapi saya berazam, agar saya dapat mendidik sifat syukur dan amalan tidak membazir, agar permata hati saya juga mampu mengikut apa yang saya lakukan melalui pemerhatian mereka.
Setiap menjamah juadah, saya pasti menyediakan mengikut kuantiti masing-masing. Anak-anak sering saya nasihati agar makan dengan bersih sehingga tidak tertinggal walau sezarah mana melainkan tulang. Saya semai pada diri mereka, agar sentiasa bersyukur dan mengamati serta menyelami nasib rakan-rakan seusia mereka di negara yang dilanda kebuluran. Malah saya tonjolkan kepada mereka bagaimana saya dan suami akan makan dengan bersih. Mereka memerhati dan bertanya apabila melihat saya dan suami akan menjilat jari selesai makan. Mulanya mereka malu, malah si kakak pernah menyatakan perbuatan tersebut seperti orang yang gelojoh. Saya tersenyum, serta menyatakan secara rasionalnya kepadanya. Sesungguhnya apa yang saya lakukan itu adalah sunnah Rasulullah dan secara teori sainsnya, setiap jari kita apabila kita menghisapnya akan mengeluarkan enzim yang akan membantu sistem penghadaman agar lebih baik. Lihat, bukankah setiap yang dibuat oleh rasul kita ada manfaatnya? Namun amalan ini tidak sinonim bagi masyarakat kita, kerana ia tidak terdidik sedari kecil, tetapi tidak bagi masyarakat arab.
Justeru itu, wahai para ibu yang dikasihi, semailah amalan tidak membazir pada diri anak-anak agar mereka dapat menuai rasa syukur di atas kurniaan Allah kepada mereka. Sesungguhnya setia makanan yang kita makan salah satunya ada yang paling berkat. Mungkin yang kita suap di mulut itu yang berkat, dan mungkin yang tertinggal, atau tertumpah atau yang sengaja ditinggalkan , itu yang berkat, kerana makanan yang berkat itulah yang mampu menjadikan manusia itu hambanya yang soleh. Andai makanan itu tidak mampu kita habisi, ayuh kita kongsikan bersama makhluk Allah diluar sana yang tidak pernah merungut hatta diberikan nasi yang basi atau sisa-sisa daripada kita. Kerana apa? Kerana mereka adalah hambaNYA yang bersyukur..............................

No comments:

Disini, kita bertemu...menjalin ukhuwah keranaNYA......